Isnin, 3 November 2008

Bersama Hayati Rukun Negara

RUKUN NEGARA

BAHAWASANYA negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; memelihara satu cara hidup demokratik; mencipta masyarakat yang adil bagi kemakmuran negara yang akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak; membina satu masyarakat progesif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN

Sebelum Rukun Negara diperkenalkan, telah berlaku rusuhan antara kaum pada 13 Mei 1969. Ketenteraman negara telah terjejas akibat kejadian itu. MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) telah mengambil alih pentadbiran negara. MAGERAN telah menubuhkan Majlis Perundingan Negara (MPN) untuk membincangkan dan menilai isu perpaduan Negara. MPN telah memperkenalkan ideologi negara iaitu Rukun Negara.

MATLAMAT DAN PRINSIP RUKUN NEGARA.

Matlamat Rukun Negara

  • mengukuhkan perpaduan.
  • memelihara corak hidup demokratik.
  • mencipta sebuah masyarakat yang adil.
  • menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai.
  • membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi.

Prinsip-prinsip Rukun Negara

Kepercayaan kepada Tuhan

  • agama merupakan pegangan utama rakyat Malaysia.
  • rakyat yang beragama mudah diurus.
  • perlembagaan menetapkan Islam adalah agama rasmi tetapi agama lain bebas -diamalkan.

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

  • semua rakyat dituntut setia kepada raja dan negara.
  • Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri.
  • Raja adalah simbol penyatuan rakyat dan pelindung hak istimewa peribumi.
  • penderhakaan kepada raja juga bermaksud penderhakaan kepada negara.

Keluhuran Perlembagaan

  • perlembagaan merupakan undang-undang utama
  • perlembagaan dianggap luhur, suci dan unggul
  • rakyat dituntut supaya menerima, mematuhi, menyanjung dan mempertahankannya

Kedaulatan Undang-Undang

  • rakyat dituntut menghormati undang-undang dengan tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang.
  • rakyat akan hidup dalam keamanan apabila kedaulatan undang-undang terpelihara.
  • rakyat bertanggungjawab memastikan undang-undang negara sentiasa didaulatkan dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

Kesopanan Dan Kesusilaan

  • rakyat Malaysia dituntut bersopan dan bertatasusila.
  • ia merupakan nilai-nilai murni yang melambangkan keperibadian seseorang individu.
  • amalan ini akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati.

"bagaimanakah Rukun Negara membentuk jati diri dan sahsiah masyarakat?"

Rukun Negara harus dihayati oleh semua lapisan masyarakat: warganegara Malaysia. Rukun Negara adalah satu nilai yang perlu dicapai. Rukun Negara adalah amalan yang perlu dilakukan. Rukun Negara adalah satu visi bagi merealisasikan kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum-kaum utama di Malaya atau Malaysia semasa penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mahupun Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


  1. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu TIDAK MEMPUNYAI SEMANGAT PATRIOTIK kepada Malaysia;
  2. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu TIDAK MENGETAHUI ASAL-USUL DAN SEJARAH Malaysia;
  3. Rukun Negara tidak memberi sebarang kesan dalam jiwa seseorang jika seseorang itu TIDAK DAPAT BERFIKIR DENGAN RASIONAL DAN SECARA ILMIAH.

Tiada ulasan: