Ahad, 2 November 2008

Akur pada Perlembagaan

Dipetik drpd http://www.malaysianbar.org.my/

Kita seharusnya bersyukur dengan kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.Lihatlah negara lain betapa sengsaranya mereka di negara sendiri terpaksa hidup dalam kelaparan , ketakutan , kesengsaraan dan kehinaan.Mengapa perkara sebegini berlaku disebabkan perpaduan , kesetian , hormat menghormati dan sayang menyayangi sudah hilang dalam diri mereka.

Malaysia mengamalkan konsep Raja Berperlembagaan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Konsep ini telah dipersetujui untuk diserapkan sebagai konsep yang diguna pakai di negara ini oleh pemerintahan kerajaan British ketika negara dalam proses mencapai kemerdekaan.

Teras utama konsep Raja Berperlembagaan ini adalah raja-raja Melayu mempunyai peranan dan fungsi yang amat penting dalam sistem pemerintahan negara khususnya untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam.

Jika dilihat kepada sejarah bagaimana kemerdekaan negara diperoleh, sebenarnya persetujuan telah dicapai di antara tiga kaum terbesar negara Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India, Raja-Raja Melayu dan dengan persetujuan kerajaan British agar hak keistimewaan orang Melayu akan terus dilindungi selepas mencapai kemerdekaan melalui kuasa yang diberikan kepada raja-raja Melayu.

Persetujuan inilah yang dinamakan sebagai Social Contract atau kontrak sosial. Ia dipersetujui atas dasar asas bagi mengurangkan jurang ekonomi kaum Melayu. Dan, apa yang diputuskan di dalam kontrak sosial tersebut telah diterjemahkan ke dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang terus digunapakai dan menjadi teras kepada pembangunan dan pemodenan negara Malaysia.

Bagaimanapun, hak dan kepentingan kaum lain tidak pernah dipinggirkan dan sentiasa dipelihara dan diperuntukkan juga di bawah Artikel 153 itu sendiri.

Persoalannya adakah masyarakat Malaysia telah terlupa tentang kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum negara mencapai kemerdekaan dahulu yang mana hak-hak orang Melayu dan pribumi Sabah Sarawak akan terus dipelihara, dilindungi tanpa perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekalipun.

Tidakkah masyarakat hari ini sedar bahawa institusi raja diwujudkan bukan sebagai satu lambang upacara dan adat istiadat rasmi semata-mata. Malahan sebagai satu organ penting di dalam tampuk pemerintahan negara yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan masyarakat pribumi Sabah Sarawak dan agama Islam.

Di dalam Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara datang sebelum Keluhuran perlembangaan dan Kedaulatan undang undang. Maka dengan sendirinya menghormati institusi raja merupakan satu keutamaan kerana Raja adalah simbol perpaduan. Menolak saranan dan titah diraja seumpama cubaan meruntuhkan perpaduan.


Tiada ulasan: